Album Baru Siti Nurhaliza

Hadiah Dari Hati


KATA-KATA KHAS DARI DATO SITI NURHALIZA DALAM ALBUM TERBARUNYA…

Hadiah Dari Hati Album CoverAssalammualaikum dan salam sejahtera

HADIAH DARIPADA HATI adalah sesuatu yang diberi. Ia lahir daripada keikhlasan diri, alunan melodi, bunyi, komposisi dan tulisan puitis berseni. Sesuatu yang terhasil daripada pancaindera yang paling sunyi iaitu hati. Hati mampu berbicara, membisik kata, mententeramkan jiwa, menerbitkan arus rasa dan mengalirkan beribu-ribu makna.

HATI yang sedang saya hadiahkan ini bukanlah milik saya seorang, ramai yang menjadi tulang belakang, memberi saya peluang, menghadiahkan karya terbilang dan membantu dalam setiap ruang.

KELUHURAN HATI telah memungkinkan saya dapat meneruskan perjalanan ini, jejak seni yang tidak akan pernah mati. Waktu mula menapakkan kaki, saya temui banyak mimpi indah dan ngeri,saya diuji dengan terik mentari, dingin salji, rebut menghampiri namun kerana cekal hati, saya pasti pada satu janji bahawa akhirnya saya akan dapat menemui indahnya pelangi.

Saya bersyukur masih diberikan kelapangan untuk menghadiahkan sesuatu buat anda yang sedia menanti hasil terbaru ini. Setiap pengalaman yang saya timba dari mula menghasilkan album ini akan saya kenang hingga ke akhir nanti. Saya gembira kerana kerjaya menjadi sekolah yang terbaik untuk saya belajar banyak perkara yang adakala saya takkan temui dalam kehidupan sehari-hari.

Kemunculan album ini saya dedikasikan buat semua penerbit album, komposer, penulis lirik, semua pihak yang bekerja keras di sebalik produksi ini kerana telah memberikan keistimewaan dan sentuhan anda yang tersendiri. Banyak pengalaman yang saya kutip, ilmu mereka yang saya intip dan kini hasilnya telah dapat saya titip.

Paling istimewa kepada peminat-peminat saya di mana saja anda berada. Ada yang sering bersua, tak kurang yang tak terlihat dek mata, tak terjangkau sempadan dan benua tapi masih setia memberi sokongan dan kata-kata membina.

Kepada yang baru mahu berjinak-jinak mendengar lagu saya, semoga anda menemui sesuatu di sini dan inilah hadiah bagi `perkenalan’ kita.

Saya juga tidak akan melupakan banyak insan berjasa dalam kehidupan peribadi dan kerjaya saya. Buat suami tercinta, Dato Sri Khalid Mohamad Jiwa, keluarga saya dan keluarga mentua saya, seikhlasnya daripada hati saya amat berterima kasih kerana anda telah menjadi `erti dalam hidup saya.

Kepada warga kerja Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd. dan Suria Records Sdn.Bhd. semoga kita akan terus bekerja keras menaikkan industri muzik dan memberikan sesuatu yang maksima daripada usaha kita.

Kepada pihak media cetak dan media elektronik di dalam dan di luar negara, terima kasih di atas sokongan anda selama ini dan doa saya agar kerjasama ini tidak akan pernah berhenti.

Terimalah Hadiah Daripada Hati Siti.


INFO ALBUM BARU SITI (EXCLUSIVE DI SITIZONE.COM)
  • Album solo yang ke 12
  • Mengandungi 11 buah lagu dalam bentuk kaset dan cd
  • Penerbit album adalah Dato Siti Nurhaliza, Aubrey Suwito, Audi Mok, Azlan Abu Hassan, Jenny Chin, Greg Henderson dan Sharon Paul
  • Album akan diedarkan pada 10 Disember 2007
  • Album terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Suria Records
  • Dalam album akan ada cara untuk DOWNLOAD FULL SONG dan TRUE TONES

LAGU-LAGU DALAM ALBUM ‘HADIAH DARIPADA HATI’

  • Ku Mahu (Audi Mok / Rina Khan)
  • Melawan Kesepian (Pongky Barata)
  • Mulanya Cinta (Dick Lee / Adlin Aman Ramly)
  • Tanpa Kalian (Taufik / Taufik / Dato Siti Nurhaliza)
  • Biarkan (Azlan Abu Hassan / Azalea)
  • Kerana Dirimu (Cynthia Lamusu)
  • Hati (Sharon Paul / Shuhaimi Baba)
  • Wanita�(Muhamad Fahmi / Shanty Ramadani / Dato Siti Nurhaliza)
  • Cintamu (Sharon Paul / Fedtri Yahya)
  • Sutramaya (Aubrey Suwito / Tinta S)
  • Sekian Lama (Azlan Abu Hassan / Azalea)

Jangan lupa dapatkan album terbaru ini! Di pasaran pada 10 DISEMBER 2007!

0 komentar: